Archive for Jun 8, 2010
Jangan Menipu di Parlimen!
Walaupun pada hakikatnya blog ini kurang setuju dengan usaha ‘mendiamkan’ Anwar dengan menghadapkannya ke Jawatankuasa Khas; namun keputusan telahpun dibuat. Segala hujah telahpun dibentangkan kepada anggota Dewan. Maka, setelah mendengar segala hujah – Anwar akan dihadapkan ke Jawatankuasa yang terbabit.
Entah kenapa, Ahli Parlimen BN masih takut-takut dengan Anwar. Seolah-olahnya, kalau Anwar ada – maka kesetiaan, prinsip, keyakinan membuat keputusan, jatidiri sebagai seorang pemimpin jadi terhakis, Ahli Parlimen BN takut dengan kehadiran Anwar sehinggakan perkara yang sebegitu kecil pun mahu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak yang berkenaan. Sebenar-benarnya, apa yang berlaku ini membayangkan MP BN yang terlalu takut dengan kehadiran Anwar. Maaflah, penulis mungkin banyak menentang Anwar dalam banyak tulisan; namun memaksa Anwar senyap di Parlimen bukanlah jawapan yang bijak.
Ini semua kelemahan Nazri Aziz yang KECEWA kerana GAGAL diletakkan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Sebelum daripada itu, Nazri sebenarnya dah puas keliling Malaysia – kononnya nak membuat ‘deal’ dengan banyak pihak; sebelum dia dilantik ke SPAD. Setelah dilantik, banyak benda yang Nazri dah susun untuk mengkayakan kawan-kawan di bawah jawatan tersebut. Sayangnya, apa yang dicita-citakan tidak kesampaian.
Maka, Nazri membuat percaturan sendiri (konon nak tunjuk hebat) kepada PM. Maka, siapa yang berani mengutuk pentadbiran PM – akan diheret ke Jawatankuasa Hak. Dengan hukuman yang tertentu; maka suara orang/individu tersebut akan menjadi ‘bisu’ di Parlimen. Kalau Anwar tidak dibenarkan bercakap di Parlimen; apakah Nazri boleh beri keyakinan bahawa dia juga bisu di luar? Anwar tidak bekerja begitu. Hukuman yang diterimanya di Parlimen akan digunakan sebagai asas untuk dia menyerang dengan lebih kuat. Isu masih banyak. Isu judi, isu ekonomi, isu Negara bankrap, isu jenayah, isu integriti SPRM – semua ini menambah cerita.
Penulis percaya, bukan ini caranya untuk kita nak diamkan Anwar. Ini cara yang amat tidak demokratik membayangkan ketakutan. Apa perlunya kita takut dengan seorang Ahli Parlimen yang sedang berhadapan dengan krisis moral? Untuk apa kita takut dengan seorang Ahli Parlimen yang gemar membodoh-bodohkan rakyat dengan retorik dan cakap kosong? Namun, dengan memberikan hukuman ‘bisu’ kepada Anwar Ibrahim – kita seakan mengiakan apa sahaja segala kata-katanya.
Kita kena kenang kembali hujah sewaktu Anwar menyerang APCO. Ada sebarang bukti? Ada sebarang fakta? Semuanya serkap jarang dan main ‘acah-acah’. Tak lebih dan tak kurang. Ini membayangkan betapa Anwar sudah hilang punca dan tidak ada idea.
Maka bangunlah Saifuddin Nasution dengan fakta kononnya ada 2/3 orang Israel di Bukit Aman. Prosedur keluar masuk ke Bukit Aman bukannya mudah begitu. Tak mudah. Memang tak ada pun ejen Israel di Bukit Aman.
Kalaupun wajar Anwar dihukum; adalah kerana di menipu dewan yang mulia. Kalau orang Anwar tahu, bahawa mereka yang di belakang usaha 1Malaysia adalah: Dato’ Shazali Ramly (CELCOM) dan Dato’ Johan Jaafar (MEDIA PRIMA); pasti mereka malu dengan tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan. APCO hanya mengendali soal PR; public relations sahaja – dan tidak pernah mencampuri urusan lain.
Anwar sengaja menjemput dirinya untuk dihukum dengan hujah longgar dalam isu APCO. Memang penulis tidak setuju Anwar dihukum; namun menipu di Dewan yang mulia juga bukan sesuatu yang terlalu baik. Kalau dibenarkan penipuan, demi penipuan, demi penipuan – dilakukan di Parlimen; kita tidak akan mampu melahirkan budaya ber-Parlimen yang baik dan dihormati.
Sekali-sekala, Ahli-Ahli Parlimen jengahlah perbahasan di Parlimen lain; di UK contohnya. Semuanya bercakupan isu dasar dan polisi. Bukan politik setiap masa
Maklum Balas Pembaca