Archive for Ogos 25, 2014
From KHAIRY CHRONICLES to KHAIRY’ WISDOM.
Pertama, saya tidak percaya pada paksaan. Sebagai Menteri kita tidak boleh paksa sesiapa yang kerja di kementerian kita untuk menyokong kita. Apatah lagi penjawat awam. Kita kena hormati mereka sebagai profesional dan selagi mereka memberi kerjasama yang baik dan menyokong dasar kerajaan semasa (government of the day) dan tidak membawa apa-apa unsur politik dalam tugasan harian mereka, kita perlu kekalkan hubungan yang mesra dengan mereka.
Ada yang berpendapat bahawa penjawat awam mesti sokong parti kita. Kalau tak sokong parti kita, mereka patut dibekukan laluan kerjaya. Saya rasa ini tidak adil pada penjawat awam. Kita kena hormat prinsip keberkecualian penjawat awam atau civilservice neutrality. Tugas mereka berbeza dengan pengangan politik mereka.
Mungkin ada yang berfikiran konservatif yang tidak boleh terima pandangan saya ini. Bagi mereka, apa yang penting adalah kesetiaan total. Saya rasa pandangan sedemikian agak kuno pada zaman sekarang.
Pendekatan saya berbeza. Saya tidak paksa sesiapa sokong parti saya. Sudah pasti saya mahu mereka sokong parti saya, tetapi lebih baik mereka sokong secara sukarela. Apa guna kita paksa mereka bersorak dan mengangkat banner sokongan kalau itu cuma satu lakonan? Kalau begitu, dalam pilihanraya nanti kita menang sorak, tapi kerajaan tergadai. Tetapi kalau kitamenjalankan tugas dengan baik, penuh amanah dan rajin buat kerja, saya yakin mereka akan mempunyai tanggapan yang lebih positif pada kita. Inilah cara yang betul. Bukan politik paksa memaksa yang tidak menghasilkan sokongan hakiki pada kita.
Selepas ini mestilah ada yang cakap “KJ nak promote gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut, bla bla bla.” Jangan cetek sangat. Saya dah kata, penjawat awam mesti jaga tataetika, kerahsiaan dan segala peraturan perkhidmatan awam. Kalau ada yang bocor maklumat atau yang membawa pegangan politiknya ke pejabat, boleh dan harus diambil tindakan. Tetapi bagi mereka yang profesional dan hanya mahu buat kerja berkhidmat untuk negara, janganlah kita ada sangkaan yang buruk pada mereka atau cepat label mereka.
Tiada siapa yang boleh baca hati manusia. Kalau kita paksa orang menyokong kita, tak tentu mereka sokong kita. Hanya melalui teladan kita sebagai pemimpin akan orang menilai kita.
Maklum Balas Pembaca